Sabtu, 17 Ogos 2019

Bingkisan Menghampiri 2020


Pejam celik, pejam celik, tanpa kita sedari kita telah melangkah hampir suku ke tiga tahun 2019. Kurang 4 bulan lagi menghampiri tahun 2020. Ini  bererti usia kita juga makin menginjak angkanya.

Masa 24 jam yang Allah kurniakan terasa begitu pantas berlalu. Masih banyak perkara yang tidak mampu untuk kita sempurnakan. Masih belum puas mengecapi keseronakan hidup.

Menurut Ibnul Jauzi, di alam dunia ini manusia dibahagikan kepada lima peringkat umur iaitu

i. kanak-kanak (bayi sehingga 15 tahun)
ii. Muda (15 hingga 35 tahun)
iii. Dewasa (35 hingga 50 tahun)
iv. Tua (50 hingga 70) tahun 
v. Tua bangka (70 tahun ke atas). 

Pandangan yang diberikan oleh Imam Al-Ghazali pula ada menyebutkan bahawa rata-rata umur manusia adalah dalam lingkungan 60 tahun sahaja sebelum ianya direntap oleh malaikat Izrail.

Secara umumnya sebanyak 8 jam sehari kita peruntukkan untuk tidur dan berehat pada malam hari. Dengan erti kata lain,dari sudut pandangan yang berbeza, pada setiap hari kita berpeluang memilih samaada untuk membuat pahala ataupun melakukan dosa dan kesalahan selama 16 jam.  Lantas persoalannya, tanpa menunding jari pada orang lain, bertanyalah pada diri sendiri, adakah kuantiti dan kualiti amal soleh kita sudah mampu untuk menampung dosa dan maksiat yang kita lakukan selama ini. Dan adakah prestasi ibadah kita sudah seimbang dengan pertambahan kuantiti dosa dan usia kita dalam masa berbaki yang sudah terlalu singkat untuk kita saat dan ketika ini. Kerana mungkin esok atau lusa Izrail akan datang merentap nyawa kita walau tanpa kita merelakan.

Usia berlari seiring dengan peredaran waktu. Semalam yang pergi tak akan kembali buat selamanya. Lantaran itu tinta Al Ghazali telah merakamkan, “yang paling jauh dengan kita adalah hari semalam, kerana semalam akan pergi buat selama-lamanya tanpa akan kembali lagi, dan makin jauh, makin jauh, dan makin jauh .................”

Kanak-kanak mengejar usia remajanya. Remaja memburu masa dewasanya dan orang tua kian menuju ke titik akhir hayatnya. Tidak kira di mana kita berada sama ada di peringkat kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun tua kematian pasti akan menjemput kita bila bila masa.

Sesetengah dari kita cukup resah dengan pertambahan umur. Bimbang memikirkan kecantikan fizikal yang makin pudar dan luntur dimamah usia walhal kita akan kembali ke tanah jua akhirnya menjadi makanan cacing dan ulat tanah. Kita juga bimbang kerana wang simpanan dan harta yang dimiliki masih belum cukup banyak sedangkan semua harta yang ditimbunkan di dunia tidak berupaya menjaga kita pun di dalam kubur kelak.

Mengapa tidak kita alihkan kerisauan itu terhadap sesuatu yang lebih utama.
Bukankah lebih wajar untuk kita memikirkan, apakah dengan umur yang telah berlalu menjadikan kita semakin hampir dengan Allah atau sebaliknya. Adakah kesempatan masa dan usia yang Allah anugerahkan berpuluh puluh tahun telah kita manfaatkan sepenuhnya dalam merebut cintaNya.  Adakah bekal amalan dan ibadah kita sudah memadai untuk melayakkan kita ke syurga.

Marilah kita cuba bermuhasabah seketika hanya untuk beberapa perkara sahaja dalam hidup kita sepereti solat dan membaca Quran. Merenung kembali bagaimana nilai ketaatan dan ibadah yang telah kita laksanakan selama ini. Adakah ia telah menjadi amalan  seperti yang kita idam-idamkan. Atau pula ia hanya  sekadar melengkapkan bilangan solat lima waktu sehari semalam tanpa menjiwai intipati dan tujuan solat itu sendiri.

Kerana perlu dingat, hanya bagi solat yang benar-benar berkualiti sahaja yang mampu meninggalkan impak positif terhadap pelakunya. Ini bertepatan sekali dengan firman Allah yang bermaksud “ bahawa sesungguhnya solat itu mampu mencegah dari seseorang daripada melakukan perkara keji dan mungkar”.

Dari sudut pembacaan Al-Quran pula, bagaimana. Adakah sekadar membaca Al-Quran di bulan Ramadhan sahaja sedangkan di bulan lainnya ia tersimpan rapi di dalam almari. Atau yang lebih malang, berhabuk diatas almari dan bermahkotakan najis cicak diatasnya dek kerana jahilnya cicak yang tidak kenal erti memuliakan Al Quran.

Tahniah diucapkan kepada yang berjaya membaca Al-Quran secara konsisten setiap hari walau dengan hanya satu muka surat cuma. Ini kerana kita tidak digolongkan dalam kalangan orang yang lalai dan leka.

Jika kita merasakan tidak ada kesempatan langsung untuk membaca Al-Quran walau satu muka surat setiap hari , marilah kita cuba bermuhasabah diri. Tanyalah pada diri, apakah dosa atau maksiat yang telah kita lakukan pada hari itu sehingga tidak berpeluang langsung untuk mengalunkan ayat-ayat Allah. Demi sesungguhnya  hati orang yang sentiasa membaca Al-Quran akan hidup dan menjadi lembut. Dari lembutnya hati, akan lahir seorang manusia yang taat kepada tuhannya dan takut untuk melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.

Bagi kita yang sudah berjaya menjadikannya ia sebagai amalan rutin harian pula, mengapa tidak kita cuba meningkatkan kualiti pembacaannya. Dengan erti , berusaha memperbaiki mutu tajwid dan cuba mempelajari makna dan hukum yang terkandung di dalamnya untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Jadikanlah suri tauladan dari hadis riwayat Saidatina Aisyah r.a tatkala ditanya mengenai akhlak Nabi SAW, beliau lantas menjawab : ”Sesungguhnya akhlak baginda adalah Al-Quran”. Oleh itu, marilah kita sama sama menjadikan hadith ini sebagai satu motivasi untuk membentuk akhlak diri yang mahmudah dan terpuji sebagaimana yang dianjurkan Islam.

Perlu kita akui, tiada manusia yang sempurna selain para nabi dan rasulNya yang terpilih.
Namun, kita diberikan akal dan iman guna untuk membezakan yang mana yang baik juga dan yang mana buruk. Jom sama sama manfaatkanlah sebaik mungkin nikmat umur yang telah Allah anugerahkan ini.

Biarlah umur pendek, namun penuh dengan keberkatan. Tiada siapa di antara kita yang terlambat untuk berubah. Pintu taubat tidak pernah tertutup selagi nyawa belum sampai ke kerongkong. Kita masih ada masa untuk berubah ke arah yang lebih baik, kita masih ada masa. Biarlah perubahan itu bakal membawa kesejahteraan hidup kita di dunia dan di akhirat dan paling penting, ianya mendapat keredhaan Allah s.wt. Moga ada manfaatnya dari perkongsian yang tidak seberapa ini. Semoga hari esok lebih baik dari semalam.
Share:

0 ulasan :

Catat Ulasan

Ruangan Sembang

Recent Posts

Definition List